Saturday, October 31, 2009

Rakaman ucapan semasa pertemuan Syamsul Johari dan Dato Mukhriz

Rakaman video ini merupakan cetusan idea saya sendiri pada pertemuan antara saya dan Dato Mukhriz pada 22/10/2009 di Biba's Cafe Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.Secara langsung ia memberi satu mesej jelas & penting dalam membangunkan kebangkitan golongan muda.


Jasad Yang Bangkit

Sudah berminggu tidak menulis artikel, kini keinginan itu timbul balik dan bukan timbul kerana tidak timbul dalam membawa sebuah wacana pemikiran yang dibawa khas untuk bacaan umum.Prasarana pemikiran itu sendiri tiada penghujung,dan jika ada hujungnya biarlah setiap kita sendiri berfikir untuk menyediakan jalan pemikiran yang lebih baik untuk kesejahteraan pemikiran sejagat.

Dalam bacaan bacaan saya kadangkala saya juga tidak sependapat dalam cetusan-cetusan akademik yang terdahulu.Antaranya cetusan pemikiran Prof Diraja Ungku Aziz, dimana Pak Ungku dalam wawancara terdahulu ada menyebut seperti begini: "Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula."

Saya fikir, ada beberapa ketinggalan dari sudut kekuatan agama Islam itu sendiri yang tidak dipandang berat oleh Pak Ungku.Saya tidak perlu membicarakan asas Islam itu kerana saya yakini ramai sudah maklum dimana Islam mahukan kejayaan didunia dan akhirat.Apa yang saya lihat, Pak Ungku melihat dari sudut bangsa tetapi tidak memberatkan agama bangsa(merujuk melayu Malaysia yang beragama Islam).Adalah menjadi suatu lumrah apabila sesebuah negara samada selepas berlaku perang, selepas berlaku bencana maka rakyatnya akan lebih pergi kepada arah keperluan.

Keperluan ini merujuk perkara asas; makan minum,pakaian dan tempat tinggal, beragama.Dan dari keperluan itu nanti akan wujud evolusi ke arah kehendak.Apabila kehendak itu sudah bercambah maka satu penambahbaikan akan wujud dengan sendiri.Sebenarnya orang melayu jelas akan kemahuan mereka tetapi apabila kejayaan kecil mahupun besar tidak kelihatan orang akan menilai bahawa orang melayu itu tidak jelas kemahuan mereka.

Saya masih ingat guru saya mengkritik sejarah; dimana katanya tahukah kamu bahawa mengapa permainan tradisional itu diwujudkan?Ia antara lain untuk hiburan dan hiburan itu kadangkala melekakan dan seterusnya mengajar orang melayu bawahan itu tidak berminat akan politik suatu masa dahulu dan berada pada kotak kehidupan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.Dan mengajar mereka menghasilkan gen dengki sesama melayu.Perkara ini juga langsung menyentuh maksud Surah Ar-Ra’d ayat 11 "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya”.

Lantas disini usaha mengalih pemikiran itu sudah diwujudkan sejak dari dulu, dan yang mengalih pemikiran itu sendiri adalah penglibatan orang-orang melayu yang elit atau tamak.Sebab itu saya pasti sebagai contoh DEB itu walaupun cantik dasarnya tetapi pengeluaran usahawan melayu sangat kurang kerana ada golongan yang cuba mengambil kesempatan tanpa memikirkan bangsa & agama dengan cuba menyapu bersih kesemuanya.Seterusnya dan hasilnya pengwujudan golongan peniaga melayu terus berada kekal ditempatnya.

Kita menyorot sekali lagi pemikiran Pak Ungku dimana beliau ada menyebut:

"Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?

Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.

Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.'' (wawancara tahun 2003)

Saya fikir adalah sesuatu yang baik apabila orang melayu sejak 20 tahun lalu atau kini sudah jadi hampir 26 tahun lalu memikirkan tentang agama.Kerana agama itu adalah sebagai tiang dan pengajaran yang lebih universal dan menjurus kepada semua cabang kehidupan dan ianya jaminan lengkap dari Allah swt untuk dunia mahu pun akhirat.Kita terus leka apabila melayu itu dikatakan penting akhirat tetapi kita terus sekonyong-konyong melihat melayu itu penting akhirat sedangkan Islam itu syumul dan menyeru akan kejayaan didunia dan akhirat.Pertikaian bangsa dan agama itu harus dilihat dengan pemikiran yang lebih realistik serta rohaniah.

Apabila Pak Ungku menyebut "mereka mahu kerja apa?" saya fikir sekali lagi mungkin juga harus dirujuk pada ayat ini 'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan'.(Surah al-Qasas : 77)

Ditambah juga dengan ayat ini "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan
baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." (At Thalaq 2-3).Pandangan saya apabila Pak Ungku seolah 'bernasihat' sebegitu ianya menyangkal hal-hal berkaitan rezeki, walaupun niat baiknya untuk mengubah orang melayu dari berbagai sudut untuk kemajuan.Perkara ini penting sebagai maklum balas generasi hari ini memandangkan kekhuatiran apabila menganggap melayu akan tersepit pada agama.

Dalam wawancara itu juga disebut "kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.'' Saya memandang ianya satu tradisi pemikiran kolot dimana apakah kita menganggap Tuhan tidak menjalankan tugasnya?Kerana saya juga meyakini bahawa apabila kita berserah kepada-Nya secara langsung hikmah itu akan disajikan.Ianya bukan sebagai teori tetapi ianya suatu hakikat dimana keuntungan akan diberi oleh Tuhan.Dan seandainya dianggap bahawa ketika itu melayu mementingkan akhirat,sewajarnya maka biarlah tugas tuhan untuk menggunakan kuasanya bagi menyeragamkan golongan beriman itu untuk berjaya pada dunia dan akhirat.

Saya ingin juga meletakkan pemikiran Prof Syed Hussein Alatas bahawa beliau menjelaskan melayu itu bukan malas tetapi hanya perlu dilihat dari segi 'Usaha'.Jadi permainan kekeliruan tentang untuk maksimumkan kemajuan melayu tidak boleh menuding kearah agama sedangkan agama itu sendiri menyeru kepada kemajuan.Kejanggalan ini harus diperbetulkan supaya orang melihat beragama itu bukan masalah untuk maju ketahap yang lebih baik lagi.

Dalam bicara seterusnya; Pak Ungku menyebut "Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga."

Ada satu perkara yang saya rasakan Pak Ungku tertinggal, yakni tawakkal.Dan tawakkal itu adalah satu jalan usaha kearah kejayaan.Tetapi ada benarnya apabila kita menukar tawakkal itu kepada percaya yang lebih-lebih terhadap seseorang maka akan jatuh syirik.Bab syirik ini boleh terjadi dalam banyak perkara secara tidak sengaja mahupun sengaja.Jika kita anggap pemimpin itu mempunyai kuasa memberikan kekayaan(dengan mengharap) pun kita boleh anggap ianya syirik.

Oleh yang demikian, kekuatan melayu itu sebenarnya akan lebih kuat dengan beragama Islam.Hari ini banyak versi yang memperlecehkan dan mungkin dek kerana sukar melihat perkara-perkara yang mungkin tidak dapat diterima akal(sebagai peringatan juga bahawa kita merupakan Hamba kepada Pencipta); rezeki sebagai contoh.Seterusnya kita harus menggunakan pemikiran untuk berfikir bagi mengadaptasi nikmat-nikmat tuhan itu.


Sekian,

Syamsul Johari

Friday, October 30, 2009

UMNO BERUBAH; Satu kesilapan?

Terasa agak lama juga saya tidak menulis sebuah artikel. Dan hari ini saya kembali menulis; mungkin dek kerana ada kelapangan dan masa santai. Dengan isu politik semasa hari ini, mengenai pindaan perlembagaan UMNO, terdetik untuk saya memberi perspektif berlainan khasnya dari kaca mata golongan muda.

Terdapat satu fahaman atau persepsi yang salah apabila dikatakan Pindaan Perlembagaan UMNO; makanya UMNO bersedia berubah. Ianya memberi suatu justifikasi bahawa selama ini Parti UMNO yang salah dan bukan ahlinya yang salah(yang memang sudah salah kerana salah melalui tindakan yang dikenakan atau yang masih terlepas dan sedang menyorok dicelah-celah) dalam membawa kelangsungan kepimpinan negara.

Satu lagi persepsi yang sengaja dimasukkan ialah dimana dengan sengaja atau tidak sengaja mengatakan bahawa UMNO itu Sakit, sedangkan pesakit sebenarnya ialah ahli UMNO itu sendiri.Ternyata pendedahan ini tidak sama dengan pandangan umum yang lain, kerana sifatnya tulus dan tidak berkepentingan.

Apabila berkata tentang perubahan ini, saya lebih ingin mengupaskan janji-janji terdahulu. Dan dulunya jika umum mengetahui bahawa UMNO telah mengeluarkan slogan "Transformasi UMNO" dan ketika itu ramai ahli-ahli bangkit dan menyimpulkan kesimpulan tersendiri mengenai slogan itu.Pun begitu slogan yang tidak ubah kepada perubahan itu tidak nampak perubahan yang ketara, dimana rakyat masih mendahului melalui penghakimannya menerusi pilihanraya-pilihanraya kecil yang berlaku.

Jelas disini, bahawa janji perubahan itu sekadar kata tetapi kurang perlaksanaannya. Boleh juga saya ibaratkan bahawa ianya sebuah polemik cakap besar dan seolah-olah bancuhan air kopi yang tiada nikmatnya. Kemudiannya isu Transformasi UMNO itu menutup tirainya dan diganti dengan agenda-agenda lain. Buat yang tercengang akan terus tercengang dan seterusnya isu tersebut ibarat layang-layang yang putus talinya.

Tetapi hari ini isu yang sama tetapi berbeza pendekatan muncul lagi. Atas slogan yang boleh dikatakan automatik di minda pemikiran ahli UMNO ialah UMNO MAHU BERUBAH dan pindaaan perlembagaan menjadi sasaran; yang dikatakan antara obat mujarab untuk pendemokrasian yang lebih terpelihara untuk ahli dan langsung memberi nafas baru untuk memujuk pikat rakyat bahawa kesediaan UMNO MAHU Berubah.

Tetapi persoalannya Perubahan UMNO untuk masa ini sebenarnya tidak perlu, yang wajib perlu ialah perubahan untuk mendidik ahlinya, mencorakkan ahlinya, meniupkan semangat pada ahlinya dan itu adalah asas penting bagi menyelamatkan sesebuah organisasi. Sedangkan apabila membuat perobahan UMNO itu ianya lebih bersifat keseluruhan tetapi tidaklah menyeluruh.Berbeza dengan pendekatan membaik pulih setiap ahli UMNO, ianya lebih kepada suatu tindakan terpuji.

Kepimpinan Tun Abd Razak sebagai contoh, pendekatan berbudi dengan tanah dan seterusnya memberi kesenangan pada generasi kini dan seterusnya adalah satu contoh pengorbanan yang seharusnya ditimba oleh ahli-ahli UMNO.Jadi jika ambil mudahnya perubahan yang dilakukan kepimpinan itu adalah menerusi kekuatan rakyat yang bersedia untuk berhijrah ke kawasan hutan yang ingin dibuka menerusi FELDA. Disini kita dapat lihat ahlinya yang harus diubah dan bukan organisasinya.

Organisasi boleh diubah apabila ahlinya sudah kuat, kuat dengan iltizam, kuat dengan sifat murni, tidak rasuah, kuat untuk membantu agama bangsa dan negara. Dan ketika itulah baharulah sesuai untuk dilakukan perobahan kerana ahli-ahlinya sudah bersatu berganding bahu.

Saya berikan contoh lain pula, dimana ketika UMNO berada pada kekuatan yang stabil dibawah kepimpinan Tun Dr Mahathir.Kemudian diserahkan kepada Tun Abdullah. Dibawah kekuatan yang dibina Tun Dr Mahathir ketika itu, organisasi UMNO dibawah teraju Tun Abdullah boleh membuat perubahan TETAPI ada padahnya, ada tulahnya apabila dilakukan perubahan tidak kena gayanya. Dan tidak kena gayanya itu meleret hingga ke hari ini dan terkial-kial mencari pengasah kaliber untuk mengasah pisau yang semakin tumpul dihati rakyat.

Dengan kata lain perubahan yang sebaiknya pada UMNO adalah membaik pulih semangat ahlinya, mencorakkan ahlinya semula dengan kekuatan dan ilmu.Dan ingin ditegaskan saya sesekali tidak menggunakan teori pendulum kerana ia hanya memberikan dua pilihan sedangkan untuk pembaharuan atau reform banyak pilihan boleh diaplikasikan bersesuaian dengan permasalahan. Dan teori pendulum tidak rasional dan hanya untuk suka hati bagi menyedapkan hati bagi mengatasi perasaan terdesak.

Yang pastinya perubahan itu bagus tetapi kita harus jalani atas perubahan pada ahlinya terlebih dahulu. Saya merasakan kelemahan orang hari ini adalah mereka mahu cara segera seperti mee segera, dan ingin melihat perubahan sekelip mata; itu tidak boleh memandangkan perubahan adalah suatu kaedah tarbiah dan pengisian secara berterusan bagi membaik pulih semangat asal perjuangan kepada setiap ahli.

Kita tidak boleh bercakap sedap semata-mata atau cakap sahaja seperti isu Transformasi UMNO, UMNO BERUBAH, ianya adalah sebuah perkataan sedap dibaca sahaja walaupun orang mendengar hari-hari sehingga menjadikannya sebuah slogan. Kesannya tidak; kerana slogan itu tidak melatih minda berfikir. Saya juga percaya mereka yang telan slogan terlalu banyak akan menjadikan pemikiran mereka buntu suatu hari nanti.

Saya sudahi dengan kalamullah:

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”(Surah Ali Imran ayat 139)

Sekian,
SJJ

Belajar dengan laut...

"Itu laut..."(Sambil Sang Guru menunjukkan jari telunjuk). Akal muda seakan belum mencapai maksud sang guru itu. Lantas ditanya untuk apa ke laut; menjadi nelayan? Berenang, bermandi manda? bersuka ria? atau maksud lain?(Fikiran melayang-layang akan keseronokan)

Sang guru diam, sambil mengukir senyuman. Sorotan mata Sang guru masih tetap melihat laut. Kemudian sang guru mula berkata..Dan katanya pula tidak berjela, hanya tiga patah perkataan. "Belajar dengan laut..." itulah kata keramat yang ditinggalkan untuk dihayati, dipelajari, diterokai, diolah, diterjemah sendirian melalui liku-liku perjalanan kehidupan.

Pencarian mula dilakukan berterusan, langsung menguatkan juntrungan diri.Cari dan gali serta nikmati falsafah sang guru perlahan-lahan. Masih segar diingatan antara nasihatnya; "Amalan itu ibarat menabung, kita bukan menabung duit sahaja yah... Tapi harus menabung amal.Berdikit-dikit dahulu kemudian jadilah besar amalannya.Insyaallah"

Belajar dengan laut...Belajar dengan laut...Belajar dengan laut, menjadi satu wadah persoalan dan jawapan yang sering-sering dikemaskini. Dan jawapan tidaklah datang seperti air yang mengalir, walau ia datang sepatah ia tetap dianggap jawapan. Dan jawapan bukanlah satu noktah kerana jawapan kadang datang tanpa duga, ia sekelip mata dan tiba-tiba. Jawapan tidak selalunya diukur dengan wang ringgit ia diukur dengan keselesaan manusia dengan jawapan itu dan bermanfaat.

Pandang dan lihat politik pula terkesan dengan istilah belajar dengan laut ini. Di medan politik sudah pasti ada 2 kuasa; iaitu kuasa yang lemah dan kuasa yang kuat. Istilah orang laut beri gelar ianya 'pasang surut air laut'. Yang berkudrat, punya pengalaman maka banyaklah rezeki untuk dibawa balik ke darat. Jelas pula jika dibawa kearah politik; pemimpin yang bertenaga, punya pengalaman akan membawa keyakinan dan penghormatan rakyat ‘balik berperingkat’ pada diri pemimpin itu sendiri.

Terkadang melihat kapal nelayan itu usang tetapi tidak pada warganya. Kuat membanting tulang empat kerat campur akal dan kerjasama. Rezeki dibahagi samarata antara mereka yang terlibat. Tetapi perkara ini jarang berlaku dipentas politik dan suasana hari ini.Terlalu banyak pecahan, culas, dan masalah, ianya seperti gelombang ombak yang tidak pernah tenang.

Laut… Suatu masa dahulu sekitar awal 90an ada diantara kita gembira dan seronok apabila mahu ke laut apatah lagi bila disebutkan; contohnya mahu ke Port Dickson atau PD. Dapat beriadah, menikmati keindahan alam.Tetapi awas! Laut juga boleh meragut. Laut tidak mengenal istilah kufu…Andai kamu lalai kamu korban, andai kamu bijak kamu bebas. Beza laut dan manusia ialah AKAL. Tetapi jarang pula manusia menggunakan akal, mereka melebihkan keseronokan, tamak dan jarang berhati-hati sehingga nyawa jadi taruhan,gadaian.

Perihal filosofi belajar dengan laut atas kaca mata politik, memberi sinonim dengan firman ini :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al Room ayat 41)

Ternyata ianya memberi kebenaran tentang perlunya kita belajar dengan laut dalam aspek yang lebih luas. Sebagai contoh, laut itu dalam; kehidupan di dalam itu jarang orang mengetahui.Sungguh dalam, namun dalam itu tidak sama dalamnya pemikiran politikus hari ini. Masing-masing mencari ‘mutiara’ sendiri, masing-masing mengaku mereka punya kebenaran seperti ‘sudah dapat menangkap ikan duyung( manusia perempuan bersisik ikan)’.

Jika kita kaji warna laut hari ini pun banyak berubah, tidak sejernih dahulu. Dulu nampak banyak biru disemua tempat.Kini, coklat dan biru mewarnai laut. Ianya seolah-olah melambangkan hati politikus hari ini; ada yang busuk, ada yang dengki, ada yang angkuh, ada yang menjatuh, ada yang mengusik, ada yang jujur, ada yang amanah, ada yang penting diri, ada yang kotor dan lain-lain lagi. Kesedaran politikus mahupun pemimpin sangatlah payah dan sementara kadangkala, ini kerana ego atau tidak dapat menerima hakikat, sedangkan yang menaik atau mencemarkan mereka adalah dari perbuatan mereka sendiri.

Laut… laut itu ada hasil, ada rezeki yang boleh dicari.Laut ada benda yang berharga ada sumber makanan, sumber petroleum, sumber estetika. Ianya langsung menjana pendapatan negara. Hasilnya dahulu memberi kebajikan menyeluruh pada rakyat, tetapi hari ini lain pula jadinya. Bilamana rakyat pula di tawan hasil sedangkan lumrah alam manusia menguasai hasil. Ini mungkin faktor yang dijelaskan pada awal tadi iaitu laut dan manusia, bezanya manusia itu BerAKAL.

Laut mengajar manusia itu berdisiplin, penuh pantang larangnya. Sebagai contoh musim tengkujuh, adalah satu kegilaan jika mahu mencari rezeki ditengah lautan. Sama juga jika dilihat pada politik, politikus atau pemimpin itu harus ada disiplin, perlu prihatin pantang larang seperti jangan rasuah; tetapi masih juga ada yang rasuah. Dan musim rakyat merajuk memberi satu penangan terajang atau penyepak yang sakti, sehingga tidak pernah wujud istilah pemimpin merajuk dengan rakyat malah menjadi sesuatu yang resah pada pemimpin yang jujur untuk membuat yang terbaik pada kepimpinannya untuk rakyat.

Ombak besar pula adalah sesuatu yang boleh kita hayati, dimana dikala ombak yang kecil datang kita masih boleh menawannya.Tetapi jika ombak besar, katakan ketinggian ombak luar biasa seperti ketinggian bangunan klcc adakah mampu untuk kita tersenyum? Saya fikir ramai yang akan cabut lari dahulu dan mencari tempat yang paling selamat. Soalnya hari ini masih ramai politikus tidak sedar bahawa merekalah sendiri yang membuat ‘bencana’ itu. Mereka sendirilah seolah-olah menjadikan ombak kecil sebagai kawan dan mereka jugalah (oleh kerana) tidak hati-hati makanya membuatkan ombak besar itu cuba memakan mereka sendiri.

Saya masih ingat kata seorang sahabat, bahawa lemas didalam laut adalah satu tempoh sakarulmaut yang amat menyeksakan; dan begitulah juga dengan suasana politik hari ini yang seolah-olah cuba melemaskan diri dek kerana perbuatan politikus itu sendiri.Ianya bukan sesuatu yang bodoh apabila ‘melemaskan diri’ kerana perbuatan mereka sendiri tetapi sebelumnya; iaitu sifat tamak, mahu kaut lebih itulah tindakan yang menyebabkan mereka ini jatuh tersungkur ke pintu-pintu kebodohan walhal mereka punya pendidikan tinggi dan membanggakan tapi hilang integriti.

Percaya atau tidak, andai badang tsunami melanda negara yang cabut lari dahulu adalah golongan atasan (sebahagian mungkin) jika melihat sejarah pun akan persis sebegini.Yang tinggal hanyalah golongan sederhana dan bawahan. Pelik juga golongan yang dulunya hero mahupun heroin tiba-tiba berubah hati, dari hati yang besar kepada hati seperti daun semalu; hati yang kucup.

Saya tertarik dengan 2 hadis ini yang menyebut;
Pertama: “Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” (HR Abu Dawud)
Kedua: “Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi s.a.w bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud)

Kesimpulannya, BELAJAR DENGAN LAUT tidaklah berhenti disini…ianya cukup luas untuk kita ambil sebagai pengajaran. Yang dikupas hanyalah sedikit, biarlah yang besar itu dikupas sendiri oleh pemimpin, politikus dan rakyat. Ingat andai belajar dengan laut kita tidak akan rugi kerana laut punya ilmu, manusia punya akal. Pun begitu akal harus seiring dengan penasihatnya iaitu Alquran dan hadis. Saya percaya apabila fitrah manusia di manusiakan tanpa fitrah alquran dan hadith maka ianya tidak cocok dan hanya cocok apabila fitrah itu dihalakan pada tempat asalnya.

Saya sudahi dengan :
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”(Surah Ali Imran ayat 139)

Sekian,
SJJ

Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran

Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran menerajui episod kali ini dengan melangkau ke arah kepimpinan dalam renung-renung orang muda.Hari ini banyak episod tuduh menuduh antara satu sama lain agar dengan demikian satu publisiti atau kaedah meyakinkan ahli mahupun rakyat dapat dinafaskan semula.

Kaedah tuduh menuduh ini mengingatkan zaman persekolahan tahun sekitar pertengahan 90an yang mana ketika itu jika disekolah jika seorang murid mengetahui nama bapa atau ibu seorang murid lagi; maka akan menjadi satu bonus ketika konflik berlaku antara mereka(boleh digunakan untuk diejek).

Ianya ditambah lagi dengan unsur kreatif pada murid itu dengan mempelbagaikan nama bapa yang ingin di ejek dengan penuh kiasan.Sebagai contoh jika nama bapanya Hashim makanya murid itu cuba mengejek nama murid berbinkan Hashim itu dengan 'bersin' dan idea-idea kreatif lain.

Unsur seumpama ini sebenarnya sedang berlaku dalam politik tanah air.Isu menuduh pengkhianat itu pengkhianat ini berbagai dengan penuh gaya kreatif agar mendapat sambutan dan selalunya berakhir dengan perang mulut.Jika dizaman persekolahan ianya berakhir dengan pergaduhan, kemudian seorang Guru atau Guru Disiplin akan masuk campur untuk mendenda dan seterusnya cuba untuk mendamaikan murid yang sedang berkonflik itu.

Persoalannya apakah orang tua mahu mengikut langkah 'persekolahan' dalam menyelesaikan sesuatu isu dan dalam keadaan yang penuh mendesak menyebabkan banyak hembusan suara mengata-ngatai dilahirkan untuk menjaga kepentingan politik masing-masing?

Apakah ini yang mahu ditonjolkan kepada muda-mudi?Atau sudah mula pemimpin hari ini hilang ilmu kepimpinan dan hanya bergantung kepada pengalaman semata-mata.Apabila berlaku konflik berterusan ianya akan mengganggu gugat pembangunan dari segi insfrastruktur dan sosial.

Isu yang melanda seolah-olah orang tua perlu mendapat nasihat dari orang muda atau sudah berlaku 'terbaliknya dunia' dalam zaman ini yang penuh pancaroba.Pemimpin mengatakan itu dan ini seperti banjaran emas tetapi yang mendapat manfaat besar pula adalah golongan terpilih,rakyat pula hanya mendapat manfaat kecil.

Ideologi yang bakal melanda di Permatang Pasir(sebagai contoh) tidak ubah seperti peribahasa yang dipilih; "yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran". Dimana pemimpin sedang rakus mengejar keyakinan,tetapi dalam masa yang sama menghakis keyakinan rakyat.

Perbualan kepimpinan hari ini sangatlah diluar keterbatasan minda.Jika dahulu andai mukanya bersih makanya rakyat berbesar hati menjadi marhaennya.Tetapi hari ini jika pemimpin muka bersih belum memastikan pemimpin itu bersih dan belum tentu rakyat berbesar hati tentang kepimpinan pemimpin itu.

Zaman sudah berubah, zaman meiji adalah satu contoh kompilasi terbaik untuk dijadikan panduan dalam menstrukturkan kepimpinan.Meiji yang membawa maksud “pemerintah yang menerima pencahayaan” haruslah dicambahkan mengikut resipi dan situasi negara hari ini.

Sejarah pemerintahan meiji diterajui oleh seorang putera yang bernama Putera Mutsuhito. Beliau yang ketika itu masih berumur sekitar15 tahun; di lantik selepas kejatuhan sistem pemerintahan Shogun Tokugawa. Atas semangat reform atau 'semangat jepun baru', pencapaian muncul dengan penuh drastik menerusi bahagian penting :

1. Penghapusan sistem feudalisme

2. Pemodenan angkatan tentera darat & laut

3. Komunikasi & perhubungan

4. Pendidikan

5. Undang-undang

6. Kesusasteraan

7. Ideologi & agama

8. Ekonomi

9. Perindustrian

10. Dasar kewangan & percukaian

11. Politik

12. Media

13. Kebudayaan

Jadi ternyata kaedah Meiji ini menjanjikan suatu perubahan sekiranya diaplikasikan kepada kepimpinan negara.Memang benar mungkin sudah wujud bahagian penting diatas dalam kepimpinan negara cumanya yang masih kurang adalah idealisme orang muda dalam memperbaiki kepimpinan kearah pemantapan semula.Kita bukan harus bangkit tetapi sudah tiba masanya pemimpin segelintir harus berfikir cara mereka berpolitik yang tidak ubah seperti budak sekolah.

Ingatlah jangan berjalan ke arah yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran...

Sekian SJJ

Pemimpin yang bijak harus mencerdikkan ahlinya

Pemimpin yang bijak harus mencerdikkan ahlinya,
Jika kita membelek sirah nabi akan dapat kita lihat bahawa nabi junjungan kita dalam tanggungjawabnya memimpin, baginda secara langsung mencerdikkan saf-saf kepimpinannya dan seterusnya menjadi contoh kepada jelata dan seterusnya pada umatnya.

Apa yang dapat dilihat hari ini, konsep ini jarang diguna pakai pemimpin kepada ahlinya.Jika merujuk kepada UMNO yang berusia lebih 60tahun sepatutnya parti ini sudah maju dalam memajukan ahlinya menerusi program pendidikan dalam pakej seperti diploma,ijazah,master,dan ke peringkat yang tertinggi lagi.

Program yang berlegar pada UMNO hari ini hanyalah seperti program berbentuk motivasi, forum, mesyuarat dan sebagainya itu belum cukup untuk mencerdikkan ahlinya.

Pentingnya UMNO dalam survivalnya hari ini ialah meneruskan perjuangan dengan corak yang lebih pelbagai; dan mewujudkan satu institut adalah antara cara terbaik dalam meneruskan perjuangan asal UMNO yang kini semakin 'huru-hara' dengan permasalahan dari ahli dan bekas ahli mahupun lawannya.

Institut UMNO jika diwujudkan ianya secara langsung dapat melahirkan pemimpin pelapis serta dapat menyemai perjuangan asal UMNO.Menerusi institut ini juga garapan pemimpin-pemimpin dapat diolah dan dikemaskini dengan sempurna.

Dengan mencerdikkan ahli menerusi sebuah institut yang seandainya diwujudkan oleh UMNO secara langsung menampakkan kesediaan UMNO untuk membersihkan imej ahli-ahli dari segi moral,rasuah kepada ahli yang cerdik dan bijak serta berpengetahuan.

Dengan pengwujudan institut sebegini, ahli UMNO bukan sahaja dijana dengan ilmu malah dapat menyemarakkan kekuatan UMNO dengan lebih kuat.UMNO mempunyai keahlian yang banyak jadi apalah salah sekiranya pemimpin berbudi kepada ahlinya dan ini dapat memberi suatu kesedaran dan perjuangan sebenar dapat diperkasakan dengan lebih mantap dan berkesan.

Hari ini sebagai contoh ahli-ahli UMNO seolah terikut-ikut cara pihak lawan dalam bertindak balas tentang sesuatu isu.Ternyata sedikit sebanyak walaupun punya pengalaman; ianya juga harus diisi dengan ilmu maka baharulah ianya lebih bermakna dalam isi perjuangan yang mahu ditonjolkan kepada rakyat.

Kesimpulannya pemimpin dan saf-saf kepimpinan dalam UMNO harus segera mengemaskini perjuangan dan membentuk perjuangan menerusi medan keilmuan pendidikan agar ahlinya suatu hari nanti lebih baik dan mempunyai asuhan politik yang betul dan benar.

Sekian,
SJJ

1 : 0.01% dari 27 juta rakyat

Salam sejahtera,

Perkataan mesej dan mesej dan mesej timbul dibenak fikiran apabila jawapan dari seseorang yang merasakan dirinya mengetahui semua.Wow..sungguh hebat tetapi ianya langsung tidak memberi suatu kudrat keyakinan.Ibaratnya seperti melepaskan hujah ditangga.

Persoalan itu kemudiannya dilakukan kajian menyeluruh. MESEJ, kita lihat apa kebenaran disebalik yang diperkatakan.Benar katanya Mesej,tetapi TIPU dan Palsu apabila ia dilaksanakan, mesej belum tentu sampai dengan jayanya.

Mesej yang diperkatakan hanyalah hangat tahi ayam.Sudahlah seolah menolak eksperimentasi berjaya orang-orang terdahulu,tetapi dalam nada lain katanya menyokong perjuangan melayu.Aduhai, gaya seperti berubah-ubah ini kadangkala mungkin terikut cara parti lain.

Kita berbalik dengan apa yang dikatakan " 1 : 0.01% dari 27 juta rakyat" ianya adalah kaedah mesej yang benar dan praktikal dari mesej yang diperkatakan oleh sipulan itu.Kaedah ini ialah dengan menggunakan 1 orang penulis untuk mempengaruhi sekurang-kurangnya 2700 rakyat.

Apabila seseorang memperlekehkan cara lama(cara lama tetapi dikemaskini) ianya simbolik menderhaka kepada cara orang lama melayu menuntut kemerdekaan.Cara lama itu ialah melalui penulisan tidak kira samada secara virtual atau realiti, ia tetap lebih praktikal.

Secara pengamatan saya apabila seseorang itu mengatakan mesej, kita lihat pula apakah mesej yang pernah disampaikan dan kejayaan mesej itu sendiri pada rakyat?Jawapannya tidak sepenuhnya berjaya.Tawa dalam hati saya sangat sinis untuk menjaga air muka sesama manusia itu.

Saya meyakini untuk mempengaruhi rakyat secara menyeluruh itu ialah dengan penulisan yang jujur dan idealis.Sebab itu pentingnya seorang pemimpin itu menghasilkan buah kalamnya melalui buku.Ianya bukanlah sesuatu yang ketinggalam zaman,andai ada manusia berfikir bahawa ianya ketinggalan zaman maka ternyata beliau tidak tahu akan sejarah bangsa.

Ketika melihat susur galur kata orang yang menidakkan buku itu sebagai karya agung pemimpin yang terusnya nanti bersifat buah-buah ilmu; dalam hati kecil ini sangatlah bermonolog tentang apakah sangat terdesaknya ummah itu bilamana hanya mengikuti sesuatu yang dikatakan lebih mengikuti perkembangan media barunya itu.

Inilah yang dikatakan kekurangan dalam mengadaptasi buah fikiran orang muda oleh pemimpin hari ini.Mereka merasakan kerana mereka pemimpin,makanya kata-katanya seolah lebih maksum 'tingkat 2'.Jika beginilah yang diguna pakai makanya mesej yang 'diagungkan mesej' itu tidak akan kemana.

Sebab itu canang-canang idea itu harus bersifat terbuka, tetapi apabila seseorang itu merasakan apa yang telah dilakukan sudah cukup bagus makanya ia bukanlah satu jawapan yang bernas mutlak.Buta atau siapakah yang buta sebenarnya dalam mendeteksi keyakinan rakyat yang semakin tidak tentu arah ini, seperti saham yang turun naik.Percayalah kekuatan itu bukan diukur kerana MESEJ tetapi diukur dengan KESUNGGUHAN.

Sekian,
S.J
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...