Wednesday, December 22, 2010

Baden-Wurttemberg

ARKIB : 20/12/2010
 




ANDA mungkin biasa mendengar nama Albert Einstein, tokoh fizik Jerman yang diiktiraf sebagai ahli sains teragung pada abad ke-20.
Bagaimana pula dengan kereta Mercedes-Benz? Rasanya semua orang tahu akan prestij dan kemewahan kereta buatan Jerman itu. Tidak kiralah sama ada kanak-kanak atau dewasa. Semua kenal akan nama Mercedes-Benz yang melambangkan status pemiliknya.
Einstein dan Mercedes-Benz merupakan sebahagian daripada contoh kejayaan Jerman dalam bidang sains dan teknologi. Sekali gus mengangkat dan mengiktiraf negara terletak di Eropah Tengah itu sebagai peneraju dalam bidang tersebut.
Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi membolehkan Jerman atau rasminya Republik Persekutuan Jerman atau 'Bundesrepublik Deutschland' dalam bahasa Jerman muncul sebagai ekonomi terbesar di Kesatuan Eropah (EU).
Malah, Jerman merupakan negara ketiga terbesar mengeluar dan mengeksport jentera di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan China.
Rahsia kejayaan Jerman itu terletak pada kekuatan dalam inovasi dan latihan, di samping tenaga kerja berkemahiran dan berpendidikan tinggi.
Kerajaan dan syarikat-syarikat di negara ini memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan dalam sains dan teknologi.
Matlamatnya supaya negara mereka sentiasa produktif dan berinovatif dalam pengeluaran produk baru dengan menyumbangkan dana kepada universiti dan institut penyelidikan untuk melakukan pelbagai kajian.
Purata enam peratus perolehan syarikat dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Manakala lima peratus lagi untuk latihan.
Daripada 16 buah negeri dalam Persekutuan Jerman, Baden-Wurttemberg yang terletak di bahagian selatan negara itu merupakan yang paling maju dalam bidang sains dan teknologi. Ia termasuk R&D dalam kedua-dua bidang tersebut.
Justeru, tidak hairanlah jika negeri ketiga terbesar di Jerman dengan penduduk berjumlah 10.7 juta orang itu muncul sebagai negeri paling kaya di negara berkenaan kerana mempunyai banyak perusahaan besar.
Kekayaan Baden-Wurttemberg menjadikan wilayah itu mempunyai kadar pengangguran paling rendah di Eropah iaitu hanya 4.4 peratus pada tahun ini.
Beberapa perusahaan besar yang berpengkalan di Baden-Wurttemberg ialah DaimlerChrysler yang mengeluarkan kereta Mercedes-Benz, Robert Bosch GmbH (industri automobil), Carl Zeiss AG (optik) dan SAP AG (perusahaan perisian terbesar di Eropah).
Kehebatan Baden-Wurttemberg dalam bidang penyelidikan dan pengeluaran teknologi jelas terlihat melalui siri lawatan ke beberapa syarikat, institut penyelidikan dan universiti terpilih di wilayah itu baru-baru ini.
Kerajaan Baden-Wurttemberg menjemput khas wartawan Malaysia dan Singapura bagi memberi peluang melihat sendiri pembangunan terkini dalam bidang sains dan teknologi di wilayah itu.
Ia rentetan daripada lawatan oleh pemimpin wilayah itu yang disertai dengan forum perdagangan di Malaysia, Singapura dan Vietnam pada 17 hingga 23 November lalu.
Misi perdagangan disertai 150 delegasi diketuai Menteri Presiden Baden-Wurttemberg, Stefan Mappus itu bertujuan mempromosi dan membincangkan kerjasama lanjut dalam bidang sains dan teknologi dengan negara-negara yang dilawati termasuk Malaysia yang dianggap Jerman sebagai rakan kongsi ideal kerana merupakan negara paling pesat membangun di rantau Asia.
Pada lawatan itu, wartawan berkesempatan melihat secara dekat kerja-kerja penyelidikan oleh Institut Kejuruteraan Pembuatan dan Automasi (IPA) Fraunhofer, Institut Kejuruteraan Perindustrian (IAO) Fraunhofer dan Institut Kejuruteraan dan Pengurusan (IFF), Universiti Stuttgard di Stuttgard, ibu negeri Baden-Wurttemberg.
IPA Fraunhofer dan IFF menjalankan R&D dalam mencari penyelesaian untuk organisasi dan cabaran teknologi terutama dalam persekitaran pengeluaran bagi syarikat perindustrian.
IOA Fraunhofer menumpukan kepada penyiasatan topik semasa dalam bidang pengurusan teknologi bagi membantu syarikat-syarikat mengenal pasti teknologi yang relevan dengan mereka.
Kumpulan wartawan turut dibawa melawat pusat penyelidikan di daerah Esslingen iaitu Universiti Sains Gunaan Esslingen yang memiliki makmal kajian dalam bidang automotif, robotik dan sistem-sistem panduan serta syarikat Festo AG yang menjalankan perusahaan membekal teknologi automasi, melaksanakan program pendidikan dan latihan untuk industri.
Turut dilawati ialah Institut Teknologi Tekstil dan Kejuruteraan Pemprosesan Denkendorf iaitu sebuah pusat penyelidikan tekstil terbesar di Jerman.
Pusat penyelidikan terakhir dilawati ialah Institut Teknologi Karlsruhe yang menumpukan kegiatan R&D dalam teknologi pembuatan dan bahan-bahan, peralatan mesin dan pengendalian teknologi serta sistem pengeluaran di Karlsruhe.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...