Wednesday, December 22, 2010

Robot pembantu rumah dan dunia 3D


ARKIB : 20/12/2010



Wartawan diberi penerangan mengenai penggunaan robot oleh pegawai Festo AG.


sESUAI dengan tarafnya sebagai wilayah sains dan teknologi, aplikasi robotik dan automasi merupakan antara tarikan utama di Baden-Wurttemberg.
Robot-robot itu dicipta oleh institut-institut penyelidikan untuk kegunaan industri bagi membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti.
Universiti Stuttgard misalnya, mempunyai dua ciptaan robot yang mampu melakukan kerja-kerja yang sukar dibuat oleh manusia.
Ia sesuai digunakan untuk melakukan kerja-kerja di pelantar minyak, malah sebuah syarikat di Malaysia turut menempah robot berkenaan.
Satu lagi ialah robot dicipta khas untuk membantu kerja-kerja rumah.
Robot berkenaan sesuai digunakan oleh warga emas yang tinggal sendirian. Ia boleh bergerak mengambil dan menyerahkan barang-barang termasuk membuka peti sejuk untuk mengambil makanan dan minuman.
Tujuan robot itu dicipta ialah bagi membolehkan warga emas tinggal lebih lama di rumah sendiri dan tidak perlu terlalu awal masuk ke rumah orang tua kerana ada robot menjaga mereka.
Robot dikawal menggunakan komputer itu juga boleh menghubungi ahli keluarga terdekat, jika 'tuannya' tiba-tiba dia jatuh sakit dan tidak sedarkan diri.
Selain kajian robotik, penyelidikan dalam bidang optik tidak kurang menarik apabila kami dibawa melawat ke makmal realiti maya yang mempunyai bilik maya dinamakan '6-sided CAVE HyPI-6'.
Di situ pelawat perlu memakai cermin mata tiga dimensi (3D) untuk meneroka persekitaran alam maya iaitu berjalan-jalan dalam sebuah bangunan yang tidak wujud.
Bangunan maya ini boleh menyerupai model bangunan yang mahu dibina atau sedia ada.
Semasa berada di alam maya itu, pengubahsuaian boleh dibuat pada reka bentuk bangunan terbabit seperti menukar kedudukan bilik, dinding atau perabot mengikuti pilihan masing-masing.
Di Festo AG pula, memperlihatkan kecanggihan pusat latihan dan kilang pengeluaran teknologinya di samping mendapat maklumat menarik mengenai proses pembelian kereta di Jerman.
Menurut Ketua Perkhidmatan Pelawat Antarabangsanya, Christoph Kogler, proses membeli kereta di Jerman berbeza dengan negara-negara Asia yang kebiasaannya menempah secara terus kereta siap dipasang di pusat pameran dan jualan kereta.
Kogler memberitahu, kereta yang dimiliki oleh pemandu di Jerman adalah istimewa.
Pembeli dikehendaki memilih sendiri peralatan yang mahu dipasang pada kenderaan mereka.
Ia menjadikan kereta itu eksklusif kepada pemiliknya kerana tidak sama dengan kereta orang lain walaupun perlu menunggu selama tiga bulan untuk siap dipasang.
Melihat betapa Baden-Wurttemberg maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi, sudah tentu tidak rugi jika Malaysia menjalinkan kerjasama rapat dengannya.
Terutama kerjasama dalam industri dan pendidikan sekiranya ingin mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...