Friday, August 13, 2010

Minda: ‘Kita gagal jika tak mencuba’


by Syamsul Johari Jalaludin on Saturday, November 21, 2009 at 11:28am
-Rujukan 21 Nov 2009:



GAMAT seketika apabila Loraine Hahn memberitahu aktor Bollywood, Amitabh Bahchan tidak dapat hadir berkongsi kisah hidupnya pada Sidang Kemuncak Pembabitan Belia (Yes2009), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Isnin lalu.

Tapi, pengacara terkenal itu pantas meredakan lebih 2,000 remaja Asia Tenggara dan tetamu di Dewan Plenary apabila memberitahu aktres Rani Mukherjee akan tampil sebagai ganti. Pengganti yang sudah pastinya sukar ditolak untuk ditemui.

Tidak sampai seminit, dewan sekali lagi gamat apabila Loraine memberitahu penganjur Yes2009 ada bonus buat remaja Asia Tenggara iaitu lintas langsung dengan tokoh korporat tersohor Amerika Syarikat, Donald Trumph dari Trumph Tower.

Oleh itu, ketika masa melangkaui waktu sarapan pagi dan makan tengah hari, perjalanan hari pertama Yes2009 cukup lancar manakala berita Amitabh Bahchan tidak hadir terus tenggelam.

Remaja Asia Tenggara pantas menerima perubahan. Mereka lali sejurus pengasas bersama dan Pengarah Kreatif Twitter, Biz Stone yang bersahaja dengan memakai jeans membuka cerita bagaimana dia memulakan Twitter.

“Semua bermula dengan idea di kedai kopi bersama rakan,” kata Stone ketika dua layar putih besar di belakang pentas tempat dia berdiri mempamerkan lakaran awal Twitter yang kini sudah mencapai 54 juta pengguna.

Stone memberitahu bahawa dia terfikir bagaimana hendak sampaikan mesej dalam seminit atau dua yang kemudian akan memberikan kesan begitu hebat.

Idea Stone boleh diumpamakan membisik kepada teman di meja sebelah yang kemudian satu kelas dapat berita itu dalam sekelip mata.

Stone menceritakan Twitter kini bukan sekadar digunakan pemimpin dunia tetapi penjual kek dan bakeri yang ingin memberitahu biskut panas baru dikeluarkan dari ketuhar.

“Ia sudah berlaku dan semua yang menerima ‘tweet’ dan teringin sangat makan biskut panas terus ke kedai kek dan bakeri seperti dimaksudkan serta membelinya (biskut). Ia memberikan pulangan kepada penjual itu dengan pantas,” katanya.

Kebanyakan tokoh yang dijemput untuk berkongsi kejayaan sepanjang dua hari Yes2009 diadakan menyelitkan bahawa impian, idea, berani untuk berubah dan menerima perubahan asas kepada sesuatu kejayaan.

Pendapat itu tidak terkecuali buat bekas Naib Menteri Perdagangan China, Long Yongtu yang menceritakan simpanan negara itu yang satu ketika hanya AS$23 bilion (RM78 bilion) sudah meningkat kepada AS$3.2 trilion (RM10.8 trilion) sekarang.

“Ia bermula apabila kerajaan membawa 230 juta penduduk desa ke bandar. Ketika itu bermulalah empayar ekonomi China dan sehingga kini kami sudah membuat dua pasang kasut untuk seorang penduduk dunia,” katanya.

Yongtu menceritakan betapa kerajaan republik itu harus mewujudkan pelbagai kemudahan buat penduduk desa supaya mereka terus berada di pekan, bandar dan bandar raya bagi membantu menjana ekonomi.

“Idea, impian dan keberanian untuk mengubah dan menerima perubahan digalas penduduk China dengan tabah. Kami mengharunginya dengan bangga dan kini dihormati sebagai kuasa ekonomi dunia,” katanya.

Pada hari kedua Yes2009, personaliti paling mendapat sambutan adalah Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandez. Belumpun sempat Tony naik ke pentas, berbelas remaja beratur hendak bertanyakan soalan.

Dengan berkemeja putih dan jeans biru, Tony membuka tirai dengan menawarkan tiket ke London kepada remaja yang awal datang kepadanya di atas pentas dengan memakai apa-apa saja yang berwarna merah.

“Apa yang merah?” tanya Tony kepada seorang remaja lelaki yang tiba awal di atas pentas. Remaja itupun membuka jaket dan menunjukkan baju merah yang dipakainya. Ketika itu, seorang remaja perempuan berlari ke arah pentas untuk cuba merebut peluang itu tetapi terjatuh.

“You come too (anda juga),” kata Tony kepada remaja perempuan itu yang kemudian menunjukkan lenyard merah yang menggantung pas Yes2009 di lehernya. Akhirnya, kedua-dua mereka mendapat tiket ke London.

Gamat sungguh dewan ketika itu dengan tepukan dan ketawa remaja serta tetamu kerana Tony menawarkan tiket itu tanpa diduga.

Apabila memulakan bicara mengenai kejayaannya dan AirAsia mendaki puncak untuk muncul syarikat penerbangan nombor lima terbaik dunia kini, Tony terus menuding kepada impian.

“Impian perlu ada. Ia membuatkan kita berusaha. Jangan menganggap usaha itu gagal selagi kita tidak mencuba. Kita sebenarnya gagal apabila tidak mencuba. Itulah yang akan membuatkan kita menyesal,” katanya.

Tony menjelaskan lapan tahun lalu dia tidak pernah termimpi untuk menguruskan syarikat penerbangan kerana ketika itu berada dalam industri muzik iaitu bersama Warner Music Group.

“Apabila saya berada di lapangan terbang Amerika Syarikat untuk pulang ke Malaysia selepas menghadiri mesyuarat di Warner Music, saya melihat ramai penumpang menggunakan penerbangan.

“Saya terfikir, bagaimana hendak memulakan syarikat penerbangan. Ketika itu, saya dan Datuk Kamaruddin Meranun (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia), hanya ada AS$250,000 (RM847,000).

“Kami buat congak dan agak buntu. Mana ada jalan nak buat syarikat penerbangan dengan wang sebanyak itu. Selepas itu, Kamaruddin cadangkan kami bertemu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Pahamin Rejab kerana dia banyak bantu kami memerangi CD cetak rompak.

“AirAsia kemudian melantiknya sebagai Pengerusi AirAsia. Pahamin kemudian bawa kami jumpa Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. Berpeluh saya masa itu hendak jumpa Dr Mahathir,” katanya.

Tapi, semua lelah Tony, Kamaruddin dan Datuk Aziz Bakar yang juga Pengerusi AirAsia sekarang, untuk menggapai impian berbalas apabila Dr Mahathir memberi sokongan dan mereka memulakan syarikat penerbangan dengan dua pesawat bersama 250 kakitangan.


Cukup menarik apabila mengamati usaha mereka berkongsi kejayaan, impian, idea dan usaha bersama remaja Asia Tenggara, termasuklah kegigihan untuk terus hidup Nando Parrado selepas pesawat dinaikinya terhempas di pergunungan Andes, pada 13 Oktober 1972.

“Kesimpulannya, saya banyak mempelajari daripada pengalaman itu untuk terus tabah dan tidak mudah mengalah dalam menempuh apa jua cabaran,” katanya menutup bicara yang kemudian disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.

Penganjuran Yes2009 yang pertama kali diadakan di Malaysia bertujuan memberi ruang bersuara kepada remaja seluruh Asia Tenggara seperti dari Vietnam, Singapura, Laos, Thailand, Indonesia, Brunei dan Malaysia berteraskan ‘Yes’ To Change.

Ia adalah pentas bagi personaliti dan tokoh terkenal dunia melemparkan kata-kata perangsang, idea dan impian menerusi pengalaman hidup masing-masing sambil berinteraksi dengan remaja Asia Tenggara.

Selain Stone, Tony, Yongtu dan Nando Parrado, antara tokoh lain berkongsi kisah hidup mereka adalah Sir Bob Geldof - pengasas Live Aid and Live 8, Garry Kasparov - juara catur dunia paling muda tetapi bersara pada 2005, Dr Mamphela Aletta Ramphele - ahli akademik, usahawan Afrika Selatan, Randi Zuckerberg - Facebook dan David Magliano - Pengarah Komersil dan Pemasaran bagi Piala Dunia England 2018.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...