Sunday, November 21, 2010

E&E Kekal Antara Penyumbang Utama Eksport Malaysia



15 November, 2010 21:13 PM
E&E Kekal Antara Penyumbang Utama Eksport Malaysia - Fadillah
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Produk elektrik dan Elektronik (E&E) dijangka kekal sebagai satu daripada penyumbang utama eksport Malaysia, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, hari Isnin.

Kerajaan kekal komited dalam menyokong industri elektronik menerusi pelbagai skim insentif, katanya pada majlis permeterian antara MIMOS Bhd dan QT Hightech Malaysia Sdn Bhd, di sini.

"Ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat tempatan dan asing mengembangkan kemudahan pengeluaran mereka termasuk menubuhkan lebih banyak operasi penyelidikan dan pembangunan yang akan membawa kepada pemindahan teknologi dan pengetahuan ke Malaysia," katanya.

Fadillah berkata 15 projek permulaan telah dikenal pasti untuk menggerakkan sektor E&E kepada rantaian nilai.

Memorandum perjanjian yang dimeterai antara MIMOS dan QT Hightech disasarkan untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor dan melengkapkan kepakaran ketika ini dalam proses melibatkan pemasangan dan pembungkusan.

Fadillah berkata kerjasama itu akan meningkatkan dan membangunkan ekosistem yang inovatif bagi menyokong industri semikonduktor menerusi kejuruteraan dan teknologi dan seterusnya membawa keupayaan dan kapasiti industri ke tahap seterusnya.

Pada majlis tersebut, MIMOS diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya Abdul Aziz Abdul Kadir, manakala QT Hightech diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Charlie Yoon Yo Gung.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=543378

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...