Friday, November 26, 2010

Gunakan inovasi lonjak kekayaan negara - Najib

Utusan online 26 Nov 2010



NAJIB Tun Razak bersama Rosmah Mansor menyampaikan hadiah kepada johan kategori orang kurang upaya (OKU), Sun Wan Ting pada majlis kemuncak Festival Malaysia Inovatif 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut hadir Dr. Maximus Johnity Ongkili dan Dr. Rais Yatim.


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia menggunakan inovasi untuk melonjak kekayaan negara bagi memastikan hasrat memacu perubahan dan transformasi besar negara dapat dicapai menjelang 2020.
Perdana Menteri berkata, ia kerana inovasi merupakan dimensi ketiga untuk menjana kekayaan selain pelaburan domestik atau asing dan memenuhi permintaan dalam negara yang tinggi.
Beliau berkata, berdasarkan faktor itu kerajaan mengambil inisiatif mengadakan program Malaysia Inovatif 2010 bagi membudayakan inovasi memandangkan potensinya yang tidak terbatas.
"Dimensi ini (inovasi) tiada had, ia bergantung kepada kemampuan kita. Kalau kita mampu menjana kekayaan melalui daya inovasi maka kita akan melonjakkan kekayaan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.
"Sebab itu tahun ini kita jadikan tahun inovasi, malam ini kita sambut Malaysia Inovatif 2010 tetapi kita tak boleh kata tutup tirai 2010, tahun 2011 tidak perlu lagi berinovasi.
"Sebaliknya saya menganggap 2010 sebagai tahun kebangkitan nilai dan budaya inovatif supaya ia mekar di kalangan masyarakat," katanya sewaktu berucap merasmikan Malam Kemuncak Festival Malaysia Inovatif 2010 di sini malam ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri mengingatkan bahawa budaya inovasi tidak boleh dihadkan kepada para saintis dan individu yang terbabit dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ia perlu menjadi amalan seluruh lapisan masyarakat sama ada di kalangan guru, pelajar, pentadbir, pengusaha atau pemimpin.
Untuk itu katanya, inovasi mesti diolah menjadi faktor pencabar diri untuk berfikir di luar kotak dan rakyat pula mesti teruja untuk melakukannya.
Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, sesuatu penemuan hanya layak dikategorikan sebagai inovasi sekiranya ia berjaya memasuki pasaran terbuka untuk digunakan masyarakat.
Katanya, jika penemuan itu hanya terpendam dalam fail atau komputer ia tidak akan menambah kekayaan negara sebagaimana nasib banyak penemuan di negara ini.
"Kalau sesuatu itu kita rancang tapi tidak menjadi produk, ia belum menjadi bahan inovasi tetapi kalau kita buat pelan pemasaran yang baik dan produk itu sampai ke pasaran, pada masa itulah kita layak ditakrifkan berjaya membudayakan inovasi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...