Tuesday, November 30, 2010

Ubah dasar urus kewangan negara

Utusan online 30 Nov 2010


DR. Mahathir Mohamad menandatangani poster selepas menyampaikan ucapan pada acara Revisiting Vision 2020 sambil diperhatikan oleh Sharifah Mohd. Ismail di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu mengubah strategi dan polisi pengurusan kewangan sekiranya mahu Wawasan 2020 dicapai pada waktu yang ditetapkan.
Selain pengukuhan kembali ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, beliau berkata, kerajaan perlu menggerakkan rizab antarabangsa negara yang berjumlah lebih AS$100 bilion yang boleh menampung lapan bulan import tertangguh.
Menurutnya, negara boleh menggunakan separuh daripada rizab berkenaan memandangkan negara hanya memerlukan rizab bagi tiga atau empat bulan import tertangguh.
"Mengapa tidak kita gunakan wang ini untuk membantu kerajaan?" katanya pada acara Revisiting Vision 2020 anjuran Institut Pemasaran Malaysia (IMM) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden IMM, Datuk Sharifah Mohd. Ismail.
Dr. Mahathir berkata, ketika krisis ekonomi Asia pada 1997, rizab antarabangsa negara hanya berjumlah AS$17 bilion dan meningkat kepada AS$30 bilion semasa pemulihan.
Pada 15 November lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan rizab antarabangsa negara berjumlah RM326.455 bilion (AS$105.8 bilion) dan paras rizab tersebut memadai untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan 4.5 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Beliau juga berkata, sudah tiba masanya kerajaan memberi tumpuan kepada pelaburan langsung domestik (DDI) berbanding pelaburan langsung asing (FDI) jika mahu melihat matlamat Wawasan 2020 tercapai.
Melalui insentif dan sokongan kerajaan, beliau yakin industri akan berkembang dengan lebih pesat serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita negara.
Dengan keuntungan yang kekal di dalam negara, katanya, pertumbuhan tujuh peratus dalam KDNK yang disasarkan akan dapat dicapai dan seterusnya menjayakan Wawasan 2020.
Justeru tegasnya, negara patut mencontohi negara membangun seperti Jepun dan Korea yang mampu menjadi pemain utama dunia dengan mengguna pakai teknologi luar untuk menghasilkan produk sendiri bagi pasaran dunia.
"Kita mempunyai kapasiti dan kepakaran dan kita mempunyai masa yang cukup dalam 10 tahun ini untuk mencapai Wawasan 2020," katanya.
Sementara itu Dr. Mahathir mengulangi pendirian terhadap pembinaan menara Warisan Merdeka yang dianggapnya tidak perlu buat masa ini.
Ini kerana katanya, lebihan hartanah di Lembah Klang hanya akan menyebabkan krisis khususnya dalam pembiayaan pinjaman dan lebihan penawaran.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...