Thursday, October 7, 2010

Mendidik Dengan Duit Sebagai Denda | Bukan Metode Dakwah Yang Sebenar

Mendidik Dengan Duit Sebagai Denda | Bukan Metode Dakwah Yang Sebenar




Salam sejahtera,

Saya menerima aduan ketidakpuasan hati dengan tindakan yang dikenakan oleh sebuah IPTA tempatan. Dan saya sebenarnya tidak berniat mencampuri urusan IPTA tersebut, tetapi hanyalah memberikan beberapa pandangan yang wajar diambil peka oleh pihak tertentu mengenai pembudayaan keterlaluan yang diamalkan dan harus bermuhasabah kembali.

Isu-isu yang saya fikir remeh seperti jeans lusuh, pakaian tidak sopan, & berambut panjang sebenarnya tidak perlu diambil tindakan keras apatah lagi apabila ianya melibatkan duit sebagai denda. Apa yang menghairankan saya adalah mahasiswa adalah pelajar yang kerjanya hanyalah untuk belajar dan mengikuti bidang-bidang tambahan sebagai mengisi kelapangan. Dan ini menunjukkan secara konfirmasi/mutlak bahawa pelajar itu bukan seorang pekerja (samada dalam sektor swasta mahupun kerajaan) yang bergaji.

Apabila tidak bergaji apakah wajar seseorang pelajar dikenakan tindakan yang melibatkan duit? Saya fikir sistem sebegini harus disemak semula/dikemaskini dan tidak boleh dijadikan budaya yang kekal kerana pengekalan begini akan memundurkan intelektualiti universiti itu sendiri sebagai universiti yang berilmiah dan sewajarnya mampu mengeluarkan suatu pendekatan yang lebih baik dan berilmu.

Jika kita mahu melaungkan kumpulan kita pergi mencapai 'Universiti Bertaraf Dunia' sebagai contoh, saya fikir tindakan denda berunsur duit bukan suatu perkara yang relevan/penyelesaian atau mungkin ini menunjukkan sesebuah universiti itu menggunakan alasan kesalahan sebagai mengaut suatu bentuk saluran keuntungan tambahan. Cara mendisiplinkan pelajar dengan duit belum menjanjikan suatu perubahan drastik tetapi ia akan menghasilkan perasaan memberontak & kekecewaan. Dan faktor ini semestinya memberi impak kepada kualiti pelajar itu sendiri untuk mencapai keputusan yang membanggakan untuk diri,keluarga,ipta, dan juga negara.

Sebagai salah sebuah IPTA adalah sesuatu yang janggal apabila tiada jalan inisiatif untuk perkara sebegini atau kemungkinan cara fikir/resam lama banyak mempengaruhi pihak-pihak yang punya kuasa untuk menghadapi perkara tersebut, dan mangsanya adalah pelajar-pelajar yang terpaksa menerimanya. Pelajar-pelajar lazimnya dikatakan sebagai tidak matang didalam sesuatu isu, tetapi adakah sesuatu yang matang apabila mengenakan tindakan denda melibatkan duit sebagai tanda aras kematangan sesebuah institusi pendidikan?

Saya berpandangan seandainya dikatakan pelajar itu tidak matang, maka sewajarnya pihak berkuasa di IPTA tersebut mewujudkan tindakan yang lebih bersesuaian dan kena pada era masa kini. Antara langkah tindakan wajar & sepatutnya adalah:

1. Mana-mana pelajar yang melakukan kesalahan tidak perlu dikenakan denda melibatkan duit tetapi ianya perlu diberi denda menerusi sesi khidmat kaunseling yang wajib dihadiri bagi membentuk seseorang pelajar supaya matang dan mengasah cara berfikir.

2. Bagi mana-mana pelajar yang masih melakukan kesalahan berulang, pihak atasan perlu mewujudkan satu mekanisme baru dalam pembentukan sahsiah pelajar itu sendiri dengan mewujudkan khidmat komuniti. Dan ini secara langsung mendidik pelajar itu dengan lebih berdisiplin.


Saya merasakan tidak perlu membuat perbandingan antara IPTA negara dengan IPT luar negara kerana ianya mungkin akan menimbulkan lebih banyak timbang tara yang lebih berat sebelah dan lebih memihak kepada IPT luar negara. Contoh mudah di Universiti luarnegara, berambut panjang bukan kesalahan asalkan kemas, dan mereka boleh berpolitik melalui persatuan yang diwujudkan oleh parti politik tempatan negara. Jadi jelas kita dapat lihat ketidakseimbangan perlaksanaan yang diamalkan walaupun sering diwarwarkan kita mempunyai kualiti tersendiri yang boleh dibanggakan.

Kesimpulannya perkara sebegini wajar didiskusikan dan dilakukan suatu pembaharuan dengan segera bagi meningkatkan kualiti IPTA itu sendiri dengan tidak mendidik/mengajar anak bangsa dengan denda melibatkan duit kerana ia bukan menepati saluran dakwah.Ianya harus diubah sebelum ia diubah.


Syamsul Johari.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...