Friday, October 30, 2009

Belajar dengan laut...

"Itu laut..."(Sambil Sang Guru menunjukkan jari telunjuk). Akal muda seakan belum mencapai maksud sang guru itu. Lantas ditanya untuk apa ke laut; menjadi nelayan? Berenang, bermandi manda? bersuka ria? atau maksud lain?(Fikiran melayang-layang akan keseronokan)

Sang guru diam, sambil mengukir senyuman. Sorotan mata Sang guru masih tetap melihat laut. Kemudian sang guru mula berkata..Dan katanya pula tidak berjela, hanya tiga patah perkataan. "Belajar dengan laut..." itulah kata keramat yang ditinggalkan untuk dihayati, dipelajari, diterokai, diolah, diterjemah sendirian melalui liku-liku perjalanan kehidupan.

Pencarian mula dilakukan berterusan, langsung menguatkan juntrungan diri.Cari dan gali serta nikmati falsafah sang guru perlahan-lahan. Masih segar diingatan antara nasihatnya; "Amalan itu ibarat menabung, kita bukan menabung duit sahaja yah... Tapi harus menabung amal.Berdikit-dikit dahulu kemudian jadilah besar amalannya.Insyaallah"

Belajar dengan laut...Belajar dengan laut...Belajar dengan laut, menjadi satu wadah persoalan dan jawapan yang sering-sering dikemaskini. Dan jawapan tidaklah datang seperti air yang mengalir, walau ia datang sepatah ia tetap dianggap jawapan. Dan jawapan bukanlah satu noktah kerana jawapan kadang datang tanpa duga, ia sekelip mata dan tiba-tiba. Jawapan tidak selalunya diukur dengan wang ringgit ia diukur dengan keselesaan manusia dengan jawapan itu dan bermanfaat.

Pandang dan lihat politik pula terkesan dengan istilah belajar dengan laut ini. Di medan politik sudah pasti ada 2 kuasa; iaitu kuasa yang lemah dan kuasa yang kuat. Istilah orang laut beri gelar ianya 'pasang surut air laut'. Yang berkudrat, punya pengalaman maka banyaklah rezeki untuk dibawa balik ke darat. Jelas pula jika dibawa kearah politik; pemimpin yang bertenaga, punya pengalaman akan membawa keyakinan dan penghormatan rakyat ‘balik berperingkat’ pada diri pemimpin itu sendiri.

Terkadang melihat kapal nelayan itu usang tetapi tidak pada warganya. Kuat membanting tulang empat kerat campur akal dan kerjasama. Rezeki dibahagi samarata antara mereka yang terlibat. Tetapi perkara ini jarang berlaku dipentas politik dan suasana hari ini.Terlalu banyak pecahan, culas, dan masalah, ianya seperti gelombang ombak yang tidak pernah tenang.

Laut… Suatu masa dahulu sekitar awal 90an ada diantara kita gembira dan seronok apabila mahu ke laut apatah lagi bila disebutkan; contohnya mahu ke Port Dickson atau PD. Dapat beriadah, menikmati keindahan alam.Tetapi awas! Laut juga boleh meragut. Laut tidak mengenal istilah kufu…Andai kamu lalai kamu korban, andai kamu bijak kamu bebas. Beza laut dan manusia ialah AKAL. Tetapi jarang pula manusia menggunakan akal, mereka melebihkan keseronokan, tamak dan jarang berhati-hati sehingga nyawa jadi taruhan,gadaian.

Perihal filosofi belajar dengan laut atas kaca mata politik, memberi sinonim dengan firman ini :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al Room ayat 41)

Ternyata ianya memberi kebenaran tentang perlunya kita belajar dengan laut dalam aspek yang lebih luas. Sebagai contoh, laut itu dalam; kehidupan di dalam itu jarang orang mengetahui.Sungguh dalam, namun dalam itu tidak sama dalamnya pemikiran politikus hari ini. Masing-masing mencari ‘mutiara’ sendiri, masing-masing mengaku mereka punya kebenaran seperti ‘sudah dapat menangkap ikan duyung( manusia perempuan bersisik ikan)’.

Jika kita kaji warna laut hari ini pun banyak berubah, tidak sejernih dahulu. Dulu nampak banyak biru disemua tempat.Kini, coklat dan biru mewarnai laut. Ianya seolah-olah melambangkan hati politikus hari ini; ada yang busuk, ada yang dengki, ada yang angkuh, ada yang menjatuh, ada yang mengusik, ada yang jujur, ada yang amanah, ada yang penting diri, ada yang kotor dan lain-lain lagi. Kesedaran politikus mahupun pemimpin sangatlah payah dan sementara kadangkala, ini kerana ego atau tidak dapat menerima hakikat, sedangkan yang menaik atau mencemarkan mereka adalah dari perbuatan mereka sendiri.

Laut… laut itu ada hasil, ada rezeki yang boleh dicari.Laut ada benda yang berharga ada sumber makanan, sumber petroleum, sumber estetika. Ianya langsung menjana pendapatan negara. Hasilnya dahulu memberi kebajikan menyeluruh pada rakyat, tetapi hari ini lain pula jadinya. Bilamana rakyat pula di tawan hasil sedangkan lumrah alam manusia menguasai hasil. Ini mungkin faktor yang dijelaskan pada awal tadi iaitu laut dan manusia, bezanya manusia itu BerAKAL.

Laut mengajar manusia itu berdisiplin, penuh pantang larangnya. Sebagai contoh musim tengkujuh, adalah satu kegilaan jika mahu mencari rezeki ditengah lautan. Sama juga jika dilihat pada politik, politikus atau pemimpin itu harus ada disiplin, perlu prihatin pantang larang seperti jangan rasuah; tetapi masih juga ada yang rasuah. Dan musim rakyat merajuk memberi satu penangan terajang atau penyepak yang sakti, sehingga tidak pernah wujud istilah pemimpin merajuk dengan rakyat malah menjadi sesuatu yang resah pada pemimpin yang jujur untuk membuat yang terbaik pada kepimpinannya untuk rakyat.

Ombak besar pula adalah sesuatu yang boleh kita hayati, dimana dikala ombak yang kecil datang kita masih boleh menawannya.Tetapi jika ombak besar, katakan ketinggian ombak luar biasa seperti ketinggian bangunan klcc adakah mampu untuk kita tersenyum? Saya fikir ramai yang akan cabut lari dahulu dan mencari tempat yang paling selamat. Soalnya hari ini masih ramai politikus tidak sedar bahawa merekalah sendiri yang membuat ‘bencana’ itu. Mereka sendirilah seolah-olah menjadikan ombak kecil sebagai kawan dan mereka jugalah (oleh kerana) tidak hati-hati makanya membuatkan ombak besar itu cuba memakan mereka sendiri.

Saya masih ingat kata seorang sahabat, bahawa lemas didalam laut adalah satu tempoh sakarulmaut yang amat menyeksakan; dan begitulah juga dengan suasana politik hari ini yang seolah-olah cuba melemaskan diri dek kerana perbuatan politikus itu sendiri.Ianya bukan sesuatu yang bodoh apabila ‘melemaskan diri’ kerana perbuatan mereka sendiri tetapi sebelumnya; iaitu sifat tamak, mahu kaut lebih itulah tindakan yang menyebabkan mereka ini jatuh tersungkur ke pintu-pintu kebodohan walhal mereka punya pendidikan tinggi dan membanggakan tapi hilang integriti.

Percaya atau tidak, andai badang tsunami melanda negara yang cabut lari dahulu adalah golongan atasan (sebahagian mungkin) jika melihat sejarah pun akan persis sebegini.Yang tinggal hanyalah golongan sederhana dan bawahan. Pelik juga golongan yang dulunya hero mahupun heroin tiba-tiba berubah hati, dari hati yang besar kepada hati seperti daun semalu; hati yang kucup.

Saya tertarik dengan 2 hadis ini yang menyebut;
Pertama: “Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” (HR Abu Dawud)
Kedua: “Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi s.a.w bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud)

Kesimpulannya, BELAJAR DENGAN LAUT tidaklah berhenti disini…ianya cukup luas untuk kita ambil sebagai pengajaran. Yang dikupas hanyalah sedikit, biarlah yang besar itu dikupas sendiri oleh pemimpin, politikus dan rakyat. Ingat andai belajar dengan laut kita tidak akan rugi kerana laut punya ilmu, manusia punya akal. Pun begitu akal harus seiring dengan penasihatnya iaitu Alquran dan hadis. Saya percaya apabila fitrah manusia di manusiakan tanpa fitrah alquran dan hadith maka ianya tidak cocok dan hanya cocok apabila fitrah itu dihalakan pada tempat asalnya.

Saya sudahi dengan :
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”(Surah Ali Imran ayat 139)

Sekian,
SJJ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...