Friday, October 30, 2009

UMNO BERUBAH; Satu kesilapan?

Terasa agak lama juga saya tidak menulis sebuah artikel. Dan hari ini saya kembali menulis; mungkin dek kerana ada kelapangan dan masa santai. Dengan isu politik semasa hari ini, mengenai pindaan perlembagaan UMNO, terdetik untuk saya memberi perspektif berlainan khasnya dari kaca mata golongan muda.

Terdapat satu fahaman atau persepsi yang salah apabila dikatakan Pindaan Perlembagaan UMNO; makanya UMNO bersedia berubah. Ianya memberi suatu justifikasi bahawa selama ini Parti UMNO yang salah dan bukan ahlinya yang salah(yang memang sudah salah kerana salah melalui tindakan yang dikenakan atau yang masih terlepas dan sedang menyorok dicelah-celah) dalam membawa kelangsungan kepimpinan negara.

Satu lagi persepsi yang sengaja dimasukkan ialah dimana dengan sengaja atau tidak sengaja mengatakan bahawa UMNO itu Sakit, sedangkan pesakit sebenarnya ialah ahli UMNO itu sendiri.Ternyata pendedahan ini tidak sama dengan pandangan umum yang lain, kerana sifatnya tulus dan tidak berkepentingan.

Apabila berkata tentang perubahan ini, saya lebih ingin mengupaskan janji-janji terdahulu. Dan dulunya jika umum mengetahui bahawa UMNO telah mengeluarkan slogan "Transformasi UMNO" dan ketika itu ramai ahli-ahli bangkit dan menyimpulkan kesimpulan tersendiri mengenai slogan itu.Pun begitu slogan yang tidak ubah kepada perubahan itu tidak nampak perubahan yang ketara, dimana rakyat masih mendahului melalui penghakimannya menerusi pilihanraya-pilihanraya kecil yang berlaku.

Jelas disini, bahawa janji perubahan itu sekadar kata tetapi kurang perlaksanaannya. Boleh juga saya ibaratkan bahawa ianya sebuah polemik cakap besar dan seolah-olah bancuhan air kopi yang tiada nikmatnya. Kemudiannya isu Transformasi UMNO itu menutup tirainya dan diganti dengan agenda-agenda lain. Buat yang tercengang akan terus tercengang dan seterusnya isu tersebut ibarat layang-layang yang putus talinya.

Tetapi hari ini isu yang sama tetapi berbeza pendekatan muncul lagi. Atas slogan yang boleh dikatakan automatik di minda pemikiran ahli UMNO ialah UMNO MAHU BERUBAH dan pindaaan perlembagaan menjadi sasaran; yang dikatakan antara obat mujarab untuk pendemokrasian yang lebih terpelihara untuk ahli dan langsung memberi nafas baru untuk memujuk pikat rakyat bahawa kesediaan UMNO MAHU Berubah.

Tetapi persoalannya Perubahan UMNO untuk masa ini sebenarnya tidak perlu, yang wajib perlu ialah perubahan untuk mendidik ahlinya, mencorakkan ahlinya, meniupkan semangat pada ahlinya dan itu adalah asas penting bagi menyelamatkan sesebuah organisasi. Sedangkan apabila membuat perobahan UMNO itu ianya lebih bersifat keseluruhan tetapi tidaklah menyeluruh.Berbeza dengan pendekatan membaik pulih setiap ahli UMNO, ianya lebih kepada suatu tindakan terpuji.

Kepimpinan Tun Abd Razak sebagai contoh, pendekatan berbudi dengan tanah dan seterusnya memberi kesenangan pada generasi kini dan seterusnya adalah satu contoh pengorbanan yang seharusnya ditimba oleh ahli-ahli UMNO.Jadi jika ambil mudahnya perubahan yang dilakukan kepimpinan itu adalah menerusi kekuatan rakyat yang bersedia untuk berhijrah ke kawasan hutan yang ingin dibuka menerusi FELDA. Disini kita dapat lihat ahlinya yang harus diubah dan bukan organisasinya.

Organisasi boleh diubah apabila ahlinya sudah kuat, kuat dengan iltizam, kuat dengan sifat murni, tidak rasuah, kuat untuk membantu agama bangsa dan negara. Dan ketika itulah baharulah sesuai untuk dilakukan perobahan kerana ahli-ahlinya sudah bersatu berganding bahu.

Saya berikan contoh lain pula, dimana ketika UMNO berada pada kekuatan yang stabil dibawah kepimpinan Tun Dr Mahathir.Kemudian diserahkan kepada Tun Abdullah. Dibawah kekuatan yang dibina Tun Dr Mahathir ketika itu, organisasi UMNO dibawah teraju Tun Abdullah boleh membuat perubahan TETAPI ada padahnya, ada tulahnya apabila dilakukan perubahan tidak kena gayanya. Dan tidak kena gayanya itu meleret hingga ke hari ini dan terkial-kial mencari pengasah kaliber untuk mengasah pisau yang semakin tumpul dihati rakyat.

Dengan kata lain perubahan yang sebaiknya pada UMNO adalah membaik pulih semangat ahlinya, mencorakkan ahlinya semula dengan kekuatan dan ilmu.Dan ingin ditegaskan saya sesekali tidak menggunakan teori pendulum kerana ia hanya memberikan dua pilihan sedangkan untuk pembaharuan atau reform banyak pilihan boleh diaplikasikan bersesuaian dengan permasalahan. Dan teori pendulum tidak rasional dan hanya untuk suka hati bagi menyedapkan hati bagi mengatasi perasaan terdesak.

Yang pastinya perubahan itu bagus tetapi kita harus jalani atas perubahan pada ahlinya terlebih dahulu. Saya merasakan kelemahan orang hari ini adalah mereka mahu cara segera seperti mee segera, dan ingin melihat perubahan sekelip mata; itu tidak boleh memandangkan perubahan adalah suatu kaedah tarbiah dan pengisian secara berterusan bagi membaik pulih semangat asal perjuangan kepada setiap ahli.

Kita tidak boleh bercakap sedap semata-mata atau cakap sahaja seperti isu Transformasi UMNO, UMNO BERUBAH, ianya adalah sebuah perkataan sedap dibaca sahaja walaupun orang mendengar hari-hari sehingga menjadikannya sebuah slogan. Kesannya tidak; kerana slogan itu tidak melatih minda berfikir. Saya juga percaya mereka yang telan slogan terlalu banyak akan menjadikan pemikiran mereka buntu suatu hari nanti.

Saya sudahi dengan kalamullah:

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”(Surah Ali Imran ayat 139)

Sekian,
SJJ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...