Friday, October 30, 2009

Pemimpin yang bijak harus mencerdikkan ahlinya

Pemimpin yang bijak harus mencerdikkan ahlinya,
Jika kita membelek sirah nabi akan dapat kita lihat bahawa nabi junjungan kita dalam tanggungjawabnya memimpin, baginda secara langsung mencerdikkan saf-saf kepimpinannya dan seterusnya menjadi contoh kepada jelata dan seterusnya pada umatnya.

Apa yang dapat dilihat hari ini, konsep ini jarang diguna pakai pemimpin kepada ahlinya.Jika merujuk kepada UMNO yang berusia lebih 60tahun sepatutnya parti ini sudah maju dalam memajukan ahlinya menerusi program pendidikan dalam pakej seperti diploma,ijazah,master,dan ke peringkat yang tertinggi lagi.

Program yang berlegar pada UMNO hari ini hanyalah seperti program berbentuk motivasi, forum, mesyuarat dan sebagainya itu belum cukup untuk mencerdikkan ahlinya.

Pentingnya UMNO dalam survivalnya hari ini ialah meneruskan perjuangan dengan corak yang lebih pelbagai; dan mewujudkan satu institut adalah antara cara terbaik dalam meneruskan perjuangan asal UMNO yang kini semakin 'huru-hara' dengan permasalahan dari ahli dan bekas ahli mahupun lawannya.

Institut UMNO jika diwujudkan ianya secara langsung dapat melahirkan pemimpin pelapis serta dapat menyemai perjuangan asal UMNO.Menerusi institut ini juga garapan pemimpin-pemimpin dapat diolah dan dikemaskini dengan sempurna.

Dengan mencerdikkan ahli menerusi sebuah institut yang seandainya diwujudkan oleh UMNO secara langsung menampakkan kesediaan UMNO untuk membersihkan imej ahli-ahli dari segi moral,rasuah kepada ahli yang cerdik dan bijak serta berpengetahuan.

Dengan pengwujudan institut sebegini, ahli UMNO bukan sahaja dijana dengan ilmu malah dapat menyemarakkan kekuatan UMNO dengan lebih kuat.UMNO mempunyai keahlian yang banyak jadi apalah salah sekiranya pemimpin berbudi kepada ahlinya dan ini dapat memberi suatu kesedaran dan perjuangan sebenar dapat diperkasakan dengan lebih mantap dan berkesan.

Hari ini sebagai contoh ahli-ahli UMNO seolah terikut-ikut cara pihak lawan dalam bertindak balas tentang sesuatu isu.Ternyata sedikit sebanyak walaupun punya pengalaman; ianya juga harus diisi dengan ilmu maka baharulah ianya lebih bermakna dalam isi perjuangan yang mahu ditonjolkan kepada rakyat.

Kesimpulannya pemimpin dan saf-saf kepimpinan dalam UMNO harus segera mengemaskini perjuangan dan membentuk perjuangan menerusi medan keilmuan pendidikan agar ahlinya suatu hari nanti lebih baik dan mempunyai asuhan politik yang betul dan benar.

Sekian,
SJJ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...