Saturday, October 31, 2009

Jasad Yang Bangkit

Sudah berminggu tidak menulis artikel, kini keinginan itu timbul balik dan bukan timbul kerana tidak timbul dalam membawa sebuah wacana pemikiran yang dibawa khas untuk bacaan umum.Prasarana pemikiran itu sendiri tiada penghujung,dan jika ada hujungnya biarlah setiap kita sendiri berfikir untuk menyediakan jalan pemikiran yang lebih baik untuk kesejahteraan pemikiran sejagat.

Dalam bacaan bacaan saya kadangkala saya juga tidak sependapat dalam cetusan-cetusan akademik yang terdahulu.Antaranya cetusan pemikiran Prof Diraja Ungku Aziz, dimana Pak Ungku dalam wawancara terdahulu ada menyebut seperti begini: "Sebabnya orang Melayu sendiri selepas Perang Dunia Kedua tidak jelas apa yang mereka mahu. Pada satu masa mereka mahukan pembangunan, pada masa lain mereka mahu yang lain pula."

Saya fikir, ada beberapa ketinggalan dari sudut kekuatan agama Islam itu sendiri yang tidak dipandang berat oleh Pak Ungku.Saya tidak perlu membicarakan asas Islam itu kerana saya yakini ramai sudah maklum dimana Islam mahukan kejayaan didunia dan akhirat.Apa yang saya lihat, Pak Ungku melihat dari sudut bangsa tetapi tidak memberatkan agama bangsa(merujuk melayu Malaysia yang beragama Islam).Adalah menjadi suatu lumrah apabila sesebuah negara samada selepas berlaku perang, selepas berlaku bencana maka rakyatnya akan lebih pergi kepada arah keperluan.

Keperluan ini merujuk perkara asas; makan minum,pakaian dan tempat tinggal, beragama.Dan dari keperluan itu nanti akan wujud evolusi ke arah kehendak.Apabila kehendak itu sudah bercambah maka satu penambahbaikan akan wujud dengan sendiri.Sebenarnya orang melayu jelas akan kemahuan mereka tetapi apabila kejayaan kecil mahupun besar tidak kelihatan orang akan menilai bahawa orang melayu itu tidak jelas kemahuan mereka.

Saya masih ingat guru saya mengkritik sejarah; dimana katanya tahukah kamu bahawa mengapa permainan tradisional itu diwujudkan?Ia antara lain untuk hiburan dan hiburan itu kadangkala melekakan dan seterusnya mengajar orang melayu bawahan itu tidak berminat akan politik suatu masa dahulu dan berada pada kotak kehidupan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.Dan mengajar mereka menghasilkan gen dengki sesama melayu.Perkara ini juga langsung menyentuh maksud Surah Ar-Ra’d ayat 11 "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya”.

Lantas disini usaha mengalih pemikiran itu sudah diwujudkan sejak dari dulu, dan yang mengalih pemikiran itu sendiri adalah penglibatan orang-orang melayu yang elit atau tamak.Sebab itu saya pasti sebagai contoh DEB itu walaupun cantik dasarnya tetapi pengeluaran usahawan melayu sangat kurang kerana ada golongan yang cuba mengambil kesempatan tanpa memikirkan bangsa & agama dengan cuba menyapu bersih kesemuanya.Seterusnya dan hasilnya pengwujudan golongan peniaga melayu terus berada kekal ditempatnya.

Kita menyorot sekali lagi pemikiran Pak Ungku dimana beliau ada menyebut:

"Sejak 20 tahun lalu, bertambah hebat orang Melayu memikirkan tentang agama. Bagi mereka yang paling penting ialah kedudukan di akhirat. Ini menjadi masalah sebahagian besar orang Melayu. Ada yang menghantar anak-anak belajar ke Pakistan dan Afghanistan. Apabila mereka balik, mahu kerja apa? Bagaimana bangsa Melayu hendak maju melalui apa yang mereka dapat di sana?

Mereka ini percaya kalau hantar anak atau belajar di negara-negara berkenaan akan dapat banyak pahala. Sedangkan kalau di akhirat pun, bukan ada jaminan mereka akan masuk syurga.

Orang yang terbenam dalam masalah kemiskinan pula terpengaruh dengan golongan ini lalu mengabaikan nasib sendiri. Mereka kata ``kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.'' (wawancara tahun 2003)

Saya fikir adalah sesuatu yang baik apabila orang melayu sejak 20 tahun lalu atau kini sudah jadi hampir 26 tahun lalu memikirkan tentang agama.Kerana agama itu adalah sebagai tiang dan pengajaran yang lebih universal dan menjurus kepada semua cabang kehidupan dan ianya jaminan lengkap dari Allah swt untuk dunia mahu pun akhirat.Kita terus leka apabila melayu itu dikatakan penting akhirat tetapi kita terus sekonyong-konyong melihat melayu itu penting akhirat sedangkan Islam itu syumul dan menyeru akan kejayaan didunia dan akhirat.Pertikaian bangsa dan agama itu harus dilihat dengan pemikiran yang lebih realistik serta rohaniah.

Apabila Pak Ungku menyebut "mereka mahu kerja apa?" saya fikir sekali lagi mungkin juga harus dirujuk pada ayat ini 'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan'.(Surah al-Qasas : 77)

Ditambah juga dengan ayat ini "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan
baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." (At Thalaq 2-3).Pandangan saya apabila Pak Ungku seolah 'bernasihat' sebegitu ianya menyangkal hal-hal berkaitan rezeki, walaupun niat baiknya untuk mengubah orang melayu dari berbagai sudut untuk kemajuan.Perkara ini penting sebagai maklum balas generasi hari ini memandangkan kekhuatiran apabila menganggap melayu akan tersepit pada agama.

Dalam wawancara itu juga disebut "kerana kemiskinan tidak dapat diatasi, lebih baik tumpukan kepada akhirat, dunia kita tinggalkan begitu saja.'' Saya memandang ianya satu tradisi pemikiran kolot dimana apakah kita menganggap Tuhan tidak menjalankan tugasnya?Kerana saya juga meyakini bahawa apabila kita berserah kepada-Nya secara langsung hikmah itu akan disajikan.Ianya bukan sebagai teori tetapi ianya suatu hakikat dimana keuntungan akan diberi oleh Tuhan.Dan seandainya dianggap bahawa ketika itu melayu mementingkan akhirat,sewajarnya maka biarlah tugas tuhan untuk menggunakan kuasanya bagi menyeragamkan golongan beriman itu untuk berjaya pada dunia dan akhirat.

Saya ingin juga meletakkan pemikiran Prof Syed Hussein Alatas bahawa beliau menjelaskan melayu itu bukan malas tetapi hanya perlu dilihat dari segi 'Usaha'.Jadi permainan kekeliruan tentang untuk maksimumkan kemajuan melayu tidak boleh menuding kearah agama sedangkan agama itu sendiri menyeru kepada kemajuan.Kejanggalan ini harus diperbetulkan supaya orang melihat beragama itu bukan masalah untuk maju ketahap yang lebih baik lagi.

Dalam bicara seterusnya; Pak Ungku menyebut "Tetapi ketika gelombang mengejar agama dan terlalu mementingkan akhirat ini semakin besar, orang Melayu masih lagi percaya kepada bomoh dan sebagainya. Hari ini boleh dibaca dalam akhbar bagaimana orang yang terpelajar, berpangkat tinggi atau berketurunan raja masih dipengaruhi oleh bomoh. Saya pandang... macam mana orang semacam ini, mereka tahu ini perkara syirik tetapi mereka buat juga."

Ada satu perkara yang saya rasakan Pak Ungku tertinggal, yakni tawakkal.Dan tawakkal itu adalah satu jalan usaha kearah kejayaan.Tetapi ada benarnya apabila kita menukar tawakkal itu kepada percaya yang lebih-lebih terhadap seseorang maka akan jatuh syirik.Bab syirik ini boleh terjadi dalam banyak perkara secara tidak sengaja mahupun sengaja.Jika kita anggap pemimpin itu mempunyai kuasa memberikan kekayaan(dengan mengharap) pun kita boleh anggap ianya syirik.

Oleh yang demikian, kekuatan melayu itu sebenarnya akan lebih kuat dengan beragama Islam.Hari ini banyak versi yang memperlecehkan dan mungkin dek kerana sukar melihat perkara-perkara yang mungkin tidak dapat diterima akal(sebagai peringatan juga bahawa kita merupakan Hamba kepada Pencipta); rezeki sebagai contoh.Seterusnya kita harus menggunakan pemikiran untuk berfikir bagi mengadaptasi nikmat-nikmat tuhan itu.


Sekian,

Syamsul Johari

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...